Isnin, 12 November 2018 | 9:53pm
Seorang ibu maut selepas motosikal yang dibonceng bersama anaknya, dipercayai terbabit dalam kemalangan melibatkan sebuah lori di hadapan Institut Jantung Negara (IJN), Jalan Tun Razak hari ini. - Foto BERNAMA

Wanita maut, anak cedera dalam kemalangan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita maut, manakala anaknya cedera selepas motosikal ditunggangi mereka bergesel dengan sebuah lori di Jalan Tun Razak menghala ke Jalan Pahang berhampiran Institut Jantung Negara (IJN), di sini, hari ini.

Dalam nahas jam 1.20 tengah hari itu, mangsa, Halilah Mat Musa, 53, disahkan meninggal dunia di lokasi berikutan parah pada kepala, manakala anak lelakinya, Zulfianshah Syaifullah, 18, hanya cedera ringan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata siasatan awal mendapati mangsa dan anaknya menunggang motosikal Modenas Jaguh dari arah Jalan Tun Razak dalam perjalanan pulang ke rumah di Segambut Dalam, di sini, selepas selesai urusan di Tabung Haji di Jalan Tun Razak.

“Setiba di lokasi, motosikal ditunggangi mereka berada di lorong kiri cuba mengelak sebuah kereta yang keluar dari susur IJN di hadapan kenderaan mereka.

“Ketika penunggang motosikal itu mengelak masuk ke lorong kanan, kenderaan itu bergesel dengan sebuah lori di sebelah kiri.

“Akibat pergeselan itu, kedua-dua mangsa terjatuh menyebabkan wanita terbabit digilis lori berkenaan yang tidak berhenti dan meneruskan perjalanan sejurus kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Zulkefly berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta memberikan maklumat kepada pihak polis.

“Pemandu kereta dan lori terbabit dalam kejadian juga diminta tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1)(C) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

2385 dibaca
Berita Harian X