Selasa, 20 November 2018 | 6:58pm
LOKASI kejadian polis tembak lima penjenayah menyamun kedai emas di Kuchai Lama.

Lebih 20 tembakan dilepaskan - Saksi

KUALA LUMPUR: Pengunjung dan pekerja di sebuah pasar raya di Kuchai Lama, dekat sini, bertempiaran lari sebaik mendengar pintu cermin pecah dan puluhan tembakan dilepaskan dalam kejadian rompakan kedai emas dalam pusat beli-belah itu petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, empat daripada perompak berkenaan ditembak mati di lokasi kejadian, manakala seorang lagi ditembak mati kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian ketika dikejar polis.

Seorang pekerja yang dikenali sebagai Hong berkata, dia cuba mendekati premis kedai emas berkenaan untuk merakam kejadian, namun secara tiba-tiba pintu cermin pecah sebelum dia tunduk dan masuk semula ke kedai tempatnya bekerja.

“Seorang rakan dari kedai lain datang ke tempat saya bekerja memaklumkan terdapat kejadian rompakan di kedai emas di hadapan kedainya.

“Ketika itu belum ada tembakan dilepaskan dan saya memberanikan diri mendekatinya untuk melihat kejadian sebelum pintu cermin pecah.

“Terdahulu saya sempat melihat tiga lelaki memakai topi keledar berada di dalam kedai emas dan sedang mengambil barang kemas, manakala seorang lagi berada di luar sambil memegang pistol,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Hong berkata, dia mendengar lebih 20 das tembakan dilepaskan, namun tidak pasti sama ada dari perompak atau pihak polis yang membuatkan dia kecut perut.

“Lutut saya terus menggigil kerana ketakutan. Beberapa rakan mendakwa terdapat penjenayah ditembak dan meninggal dunia,” katanya.

Seorang lagi saksi yang mahu dikenali sebagai Lee berkata, dia ternampak lima lelaki memakai topi keledar dan memakai vest berwarna hijau menyerupai polis selain membawa kapak, parang dan pistol.

“Saya nampak mereka masuk ke dalam kedai dan mengambil barang kemas sebelum saya keluar dari premis tempat saya bekerja kerana takut diapa-apakan,” katanya.

Berita Harian X