Khamis, 22 November 2018 | 6:50pm
PENGERUSI Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Firdaus Ahmad bersama Ketua Pengarah APM, Datuk Roslan Wahab hadir pada Majlis Penyerahan Bot APM di Pejabat APM Kedah, Alor Setar, hari ini. - Foto Amran Hamid
PENGERUSI Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Firdaus Ahmad bersama Ketua Pengarah APM, Datuk Roslan Wahab hadir pada Majlis Penyerahan Bot APM di Pejabat APM Kedah, Alor Setar, hari ini. - Foto Amran Hamid

APM siap sedia gerak aset hadapi banjir

ALOR SETAR: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sudah bersiap sedia dengan kekuatan aset darat dan air bagi menghadapi Monsun Timur Laut, terutama di negeri Pantai Timur dan Utara yang dijangka berlaku pada bila-bila masa.

Ketua Pengarahnya, Datuk Roslan Wahab, berkata aset darat membabitkan 523 lori, kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan ambulans serta 475 bot kini siap sedia digunakan, jika terjadi banjir di negeri terbabit.

Menurutnya, APM selaku Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dan daerah sudah mengadakan mesyuarat bersama agensi lain bagi menyelaraskan operasi ketika banjir.

“Persiapan awal menghadapi banjir setakat ini sudah dilaksanakan di mana APM sendiri ada melakukan latihan simulasi mengendalikan aset bot selain bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Selain itu, kita juga pergi ke kampung bagi memberi ceramah mengenai persiapan menghadapi banjir di mana terbaharu di Terengganu kita mengadakan ceramah selepas waktu Maghrib di surau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bot APM di Pejabat APM Kedah di sini, hari ini.

Turut hadir dan merasmikan majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Firdaus Ahmad.

Roslan berkata, pihaknya turut memberi tumpuan pada kawasan rendah dan pertembungan air pasang yang berisiko menyebabkan berlakunya banjir.

“Cuti anggota APM juga sudah dibekukan di mana pegawai dan anggota kami sentiasa bersiap sedia bertugas sekiranya berlaku banjir di negeri-negeri terbabit.

“Manakala kekerapan latihan simulasi menghadapi banjir pula diadakan bergantung kepada negeri masing-masing namun ia masih diadakan sehingga kini,” katanya.

Berita Harian X