Sabtu, 24 November 2018 | 9:48pm

Mati sakit jantung, bukan langgar lari

BACHOK: Polis mengesahkan kematian seorang lelaki yang mayatnya ditemui dalam parit di kawasan Kampung Balai di simpang masuk ke Wat Pathumviharn, di sini, berpunca dari serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Nik Aminuddin Raja Abdullah, berkata mayat mangsa dikenali sebagai Abdul Aziz Che Jusoh, 63, ditemui penduduk kampung jam 12. 45 tengah hari tadi.

Menurut Nik Aminuddin, hasil bedah siasat mendapati mangsa terkena serangan jantung dan bukannya kes langgar lari sebagaimana yang tular di laman sosial dan aplikasi WhatsApp.

Katanya, hasil siasatan awal polis menunjukkan mangsa yang juga seorang nelayan, menunggang motosikal Jenis Honda C70 dari arah Tawang menghala ke Perupok dan ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa telah hilang kawalan dan terbabas sendiri ke kiri jalan sebelum jatuh ke dalam parit itu.

“Mayat mangsa dijumpai di dalam parit dengan keadaan motosikalnya berada di atas badan arwah dan dipercayai telah meninggal dunia kurang dari tempoh 24 jam. Polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi.

Nik Aminuddin berkata, terdapat kecederaan luka kecil di lutut kaki kiri dan luka kecil di buku lali sebelah kiri mangsa semasa dia ditemui.

Beliau berkata, bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X