Jumaat, 7 Disember 2018 | 12:42pm

Sepasang kekasih anggota Geng Kojak kena cekup

TAIPING: Sepasang kekasih dan seorang rakannya yang dikenali sebagai Geng Kojak dan aktif dalam kegiatan pecah rumah sejak tujuh bulan lalu, akhirnya ditumpaskan menerusi Ops Pintu dilancarkan pihak polis.

Ketiga-tiga mereka berusia 30-an dipercayai sudah melakukan sekurang-kurangnya 15 kes pecah rumah dan dua kes mencuri motosikal sejak Mei lalu, dengan semua barang yang dicuri itu dijual atau dijadikan tukaran dengan pengedar dadah, untuk mendapatkan bekalan dadah bagi kegunaan ketiga-tiga suspek.

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid, berkata pasangan kekasih Melayu yang tinggal bersama itu ditahan dalam serbuan polis di sebuah rumah di Kampung Sungai Relong, di sini, kira-kira jam 7.45 malam pada Isnin lalu.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas dua telefon bimbit dan tiga pemutar skru yang dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan.

“Siasatan mendapati lelaki berkenaan mempunyai tiga rekod jenayah dan dua rekod berkaitan dadah manakala pasangannya tiada rekod jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini hari ini.

Razlam berkata, hasil maklumat lanjut pihaknya menyerbu sebuah bengkel besi di kawasan perumahan awam Jalan Stesyen pada kelmarin dan menahan seorang lelaki.

Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas seutas rantai dan gelang berwarna kuning, dua telefon bimbit serta masing-masing sebuah kamera, tab Samsung, kasut jenama Grampian, buku lima dan pedang.

Beliau berkata, siasatan mendapati lelaki berkenaan mempunyai dua rekod jenayah dan tiga rekod berkaitan dadah.

Katanya, modus operandi kumpulan itu ialah mengenal pasti terlebih dulu mana-mana rumah di kawasan taman perumahan yang ditinggalkan tidak berpenghuni kerana penghuninya keluar bekerja, bercuti atau pulang ke kampung, sebelum melakukan aktiviti pecah rumah.

Razlam berkata, kumpulan itu juga dipercayai sering berpindah randah menyewa rumah disyaki bagi memudahkan mereka melakukan kegiatan pecah rumah di kawasan berhampiran, selain mengelak aktiviti mereka dikesan.

“Ketiga-tiga mereka direman sehingga esok dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, berikutan tangkapan ketiga-tiga suspek itu, polis percaya kes pecah rumah di sekitar daerah dan bandar ini akan menurun sekali gus menghilangkan kebimbangan penduduk terhadap kejadian itu.

Katanya, polis masih terus menyiasat terhadap Geng Kojak itu kemungkinan masih ada ahli kumpulan berkenaan yang masih bebas.

Berita Harian X