Sabtu, 8 Disember 2018 | 1:06pm
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (dua,kiri) bersalaman dengan kanak-kanak pada Majlis Berkhatan Perdana Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2018 di Masjid Bukit Aman hari ini. - Foto BERNAMA

106 ditahan kes rusuhan kuil - Fuzi

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat suspek yang disyaki terbabit dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada 26 November lalu.

Ia menjadikan jumlah yang ditahan meningkat kepada 106 orang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata jumlah tangkapan itu adalah yang terkini setakat jam 8 pagi tadi.

Fuzi berkata, seramai tujuh individu pula sudah tampil memberi keterangan daripada 66 individu yang dicari polis sebelum ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, ketika ditanya mengenai proses merakam keterangan daripada Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, anggota bomba yang cedera parah akibat dipukul dalam kekecohan itu, Fuzi berkata PDRM masih belum mengambil keterangan Muhammad Adib kerana keadaan kesihatannya yang belum pulih sepenuhnya.

“Proses rakaman percakapan dia (Muhammad Adib) belum dilaksanakan lagi kerana keadaan kesihatannya yang belum mengizinkan.

“InsyaAllah kami akan terus rakam percakapannya apabila dia sudah kembali sihat,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Berkhatan Perdana, Polis Diraja Malaysia 2018, di Masjid Bukit Aman, di sini, hari ini.

Fuzi berkata, pihaknya masih belum mengenal pasti suspek yang terbabit dalam insiden mencederakan Muhammad Adib.

“Siasatan untuk kesan suspek kini sedang dilakukan oleh pasukan petugas khas diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

“Siasatan itu akan dibuat bersama JSJ Bukit Aman dan JSJ Selangor,” katanya.

Insiden kekecohan pada awal pagi 26 dan 27 November lalu di tapak kuil terbabit menyebabkan seorang anggota polis cedera selain kemusnahan 23 kenderaan yang dibakar perusuh, kerosakan sebuah bangunan serta gangguan kepada ketenteraman awam.

Ia turut menyebabkan kecederaan parah kepada seorang Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim yang kini masih dirawat di Institut Jantung Negara.

Berita Harian X