Ahad, 9 Disember 2018 | 9:26pm
KEADAAN kereta terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 16 Jalan Lipis-Benta berhampiran Simpang Taman Jelai, petang tadi. - Foto Ihsan pembaca

Gagal memintas kenderaan, 4 terkorban 6 cedera

LIPIS: Empat termasuk tiga sekeluarga maut selepas kereta yang mereka naiki masing-masing bertembung dalam kemalangan di Kilometer (KM) 16 Jalan Lipis-Benta berhampiran Simpang Taman Jelai di sini, petang tadi.

Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu Proton Waja, Mukhtar Hassan, 52, dan isterinya, Khatijah Hussin, 61, serta cucunya, Ahmad Fakhrul Muslim Ahmad Ridhwan, 2, yang semuanya berasal dari Taman Kelaboran Jaya, Tumpat, Kelantan.

Turut maut adalah pemandu Perodua Myvi yang juga anggota tentera, Muhamad Samsol Kamal Mat Arifin, 22, yang bertugas di Kem Kementah, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azry Akmar Ayob, berkata dalam kejadian jam 3.50 petang itu Proton Waja berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari arah Benta dekat sini, menghala ke Kuala Lipis manakala Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Kuala Lipis menghala ke Benta.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu Perodua Myvi dipercayai tidak lepas cubaan memintas kenderaan lain menyebabkannya bertembung dengan Proton Waja yang ketika itu dinaiki oleh lapan orang termasuk pemandu.

“Akibat kemalangan berkenaan, Khatijah dan Muhamad Samsol Kamal maut di tempat kejadian manakala Mukhtar dan Ahmad Fakhrul Muslim meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Azry Akmar berkata, mangsa yang cedera parah pula adalah anak Mukhtar, Zalimawati, 34, dan anaknya, Zulaikha Basyirah Ahmad Ridwan, 10, yang kini masih dirawat di zon merah Hospital Kuala Lipis.

“Empat lagi mangsa termasuk isteri kepada anggota tentera (Muhammad Shamsol Kamal) cedera ringan dan turut dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya lagi, siasatan mendapati kejadian berlaku di jalan yang berselekoh manakala sewaktu kejadian, hujan renyai-renyai serta jalan basah.

“Semua mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Lipis untuk proses bedah siasat.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Kita minta saksi untuk tampil membantu siasatan kejadian ini,” katanya.

5128 dibaca
Berita Harian X