Khamis, 13 Disember 2018 | 7:19pm

7 termasuk 2 anggota polis cedera bas dirempuh treler

KUALA KANGSAR: Tujuh termasuk dua anggota polis cedera selepas bas ekspres dinaiki dirempuh treler muatan simen dalam kemalangan di Kilometer 257 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Terowong Menora, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, tujuh mangsa termasuk dua anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar cedera, namun identiti semua mangsa masih belum dikenal pasti.


TRELER simen dan bas terbabit kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berdekatan Terowong Menora. - Foto ABDULLAH YUSOF

Difahamkan, pemandu bas dan pemandu treler turut mengalami kecederaan dalam kemalangan yang mengakibatkan kesesakan teruk sehingga lapan kilometer di kedua-dua arah berikutan semua laluan di lokasi kejadian terhalang.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim, berkata siasatan awal mendapati treler dipandu seorang lelaki dalam perjalanan dari arah selatan menghala ke utara sebelum hilang kawalan dan terbabas.

Susulan itu, katanya, treler berkenaan merempuh pembahagi jalan di bahagian tengah lebuh raya dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh bas ekspres yang dalam perjalanan menghala ke selatan.

“Akibat kemalangan itu, tujuh individu cedera termasuk dua anggota polis iaitu seorang anggota wanita berpangkat Sarjan yang dalam perjalanan untuk menunaikan umrah manakala seorang lagi anggota lelaki berpangkat Konstabel dalam perjalanan untuk pulang bercuti ke kampung di Sabah.

“Semua mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut dan polis masih mendapatkan identiti semua mangsa yang cedera,” katanya ketika dihubungi hari ini.


KESESAKAN berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berdekatan Terowong Menora. - FOTO ABDULLAH YUSOF

Mangsa yang cedera dalam kemalangan di Kilometer 257.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berdekatan Terowong Menora arah selatan. - Foto ihsan Bomba

Beliau berkata, berikutan kejadian itu, polis membuat laluan alternatif di susur keluar Kuala Kangsar dari arah utara bagi membolehkan kenderaan melalui Jalan Persekutuan untuk perjalanan ke selatan.

Sementara itu, menurut laporan PLUS di laman Twitter kira-kira jam 5.18 petang tadi, lorong tengah dan kanan lebuh raya menghala ke selatan sudah dibuka semula.

“Trafik ke arah selatan bergerak perlahan sepanjang 15 kilometer manakala bagi laluan arah utara perlahan sepanjang 12 kilometer (km),” katanya.

3224 dibaca
KEADAAN lori simen dan bas terbabit kemalangan di Kilometer 257.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berdekatan Terowong Menora arah selatan. - Foto ABDULLAH YUSOF
Berita Harian X