Isnin, 17 Disember 2018 | 9:40pm
DATUK Seri Balia Yusof Wahi (kiri), Tan Sri Zaharah Ibrahim (tengah) dan Tan Sri Azahar Mohamed.

Bank komersial tidak kebal boleh disaman pelanggan

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini memutuskan bahawa bank komersial tidak boleh bergantung kepada klausa pengecualian dalam perjanjian untuk menghalang pelanggan daripada mengemukakan tuntutan terhadap mereka atas kecuaian.

Portal FMT dipetik berkata keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim iaitu Datuk Seri Balia Yusof Wahi, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Tan Sri Azahar Mohamed.

Mereka membuat keputusan itu selepas membatalkan rayuan CIMB Bank Berhad terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa mereka bertanggungjawab atas perlanggaran kontrak perjanjian dikemukakan oleh pasangan warga Britain, Anthony Lawrence Bourke and Alison Deborah Essex Bourke.

Hakim Balia memutuskan bahawa terdapat perundingan yang tidak sama rata antara kedua-dua pihak iaitu pelanggan dan pihak bank.

“Pihak pihak tidak berada pada tahap yang sama. Dalam dunia komersial hari ini, pelanggan perlu menerima kontrak yang disediakan oleh pihak lain.

“Di dalam kes ini contohnya, di mana pelanggan mengemukakan saman terhadap bank, ia menjurus kepada polisi awam yang membolehkan campur tangan mahkamah. Ia adalah ketidakadilan dan berat sebelah yang ketara kepada plaintif (pelanggan bank),” katanya.

Pada Januari lalu, lima panel hakim yang diketuai Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin mendengar rayuan CIMB terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dan menangguhkan keputusan pada tarikh lain.

Zulkefli meletakkan jawatan pada Julai lalu manakala Tan Sri Zainun Ali meletakkan jawatan bulan lalu.

Awal tahun lalu , Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa bank bertanggungjawab terhadap pelanggaran kontrak dan tort apabila menolak untuk membuat bayaran kemajuan perumahan (progress payment) kepada pemaju.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Rohana Yusuf berkata CIMB Bank tidak boleh bergantung kepada klausa pengecualian dalam perjanjian pinjaman dengan pasangan British itu.

Peguam, Ong Yu Jian, hadir bagi mewakili pasangan itu manakala peguam Wong Hock Mun dan Sharifah Alliana Idid mewakili CIMB Bank.

Anthony dan Alison yang kini tinggal di United Kingdom, London membeli hartanah di di Jalan Sultan Ismail, di sini, daripada pemaju Crest Worldwide Resources Sdn Bhd pada 2008.

Bagi membuat pembiayaan bagi pembelian itu, mereka mengambil pinjaman daripada bank CIMB pada tahun itu.

Ia adalah perjanjian di mana pasangan itu akan membayar secara bulanan dan bank akan membayar bayaran kemajuan perumahan kepada pemaju.

Bagaimanapun, CIMB gagal membuat pembayaran bagi salah satu invois dan akibatnya pemaju menamatkan perjanjian jual beli dengan pasangan itu.

Pada 2015, pasangan itu memfailkan saman terhadap bank itu atas kecuaian dan pelanggaran kontrak.

Pada 2016, Mahkamah Tinggi membatalkan saman itu atas alasan klausa pengecualian dalam perjanjian melindungi CIMB daripada dikenakan tindakan saman atas kecuaian.

1965 dibaca
Berita Harian X