Rabu, 26 Disember 2018 | 2:18pm
Antara kereta mewah yang musnah dalam kebakaran di Taman Li Hua, Bintulu. - NSTP/Erika George
Antara kereta mewah yang musnah dalam kebakaran di Taman Li Hua, Bintulu. - NSTP/Erika George

Kenderaan setengah juta hangus

BINTULU: Kegembiraan sebuah keluarga di Taman Li Hua, di sini, sempena cuti Krismas bertukar mimpi ngeri selepas tiga kenderaan mewah milik mereka musnah, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, pemilik kenderaan terpaksa menanggung kerugian lebih setengah juta ringgit selepas kenderaan Lexus RX, Toyota Land Cruiser dan Mercedes hangus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu jam 10.38 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba, api marak memusnahkan tiga kenderaan mewah yang di parkir di halaman depan rumah berkenaan menyebabkan anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran.

“Api marak dengan cepat dan anggota bomba perlu melakukan operasi pemadaman segera kerana bimbang risiko kebakaran lebih besar kerana ia mungkin boleh meletup kerana bahan api di dalam kenderaan yang terbakar.

“Selain itu, api juga perlu dikawal segera kerana berkemungkinan merebak memusnahkan struktur lain rumah berkenaan dengan lebih mudah,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Mohamad berkata, ketika kejadian pemilik kenderaan mewah itu tiada di rumah dan kebakaran hanya disedari pembantu rumah sebelum memaklumkan kepada bomba.

Beliau berkata, setakat ini punca sebenar kejadian yang menyebabkan kenderaan itu terbakar masih dalam siasatan terperinci pasukan forensik.

“Siasatan juga akan dibuat bagi mengesan bahan yang menyebabkan kebakaran sama ada membabitkan unsur jenayah atau sebaliknya,” katanya.

Berita Harian X