Rabu, 26 Disember 2018 | 5:43pm
Nur Amirah (kiri) didakwa di Mahkamah Majistret di Kota Bharu atas pertuduhan mencuri barangan kelengkapan bayi bernilai RM5,686.95, Jumaat lalu. - NSTP/Siti Norhidayatidayu Razali

Ibu muda didakwa curi barangan bayi

KOTA BHARU: Seorang ibu yang baharu 46 hari melahirkan anak, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan mencuri barangan kelengkapan bayi bernilai RM5,686.95, Jumaat lalu.

Tertuduh, Nur Amirah Daud Latfi, 29, yang menangis teresak-esak, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Izuddin Mohd Syukri.

Wanita itu didakwa mencuri 95 barangan termasuk alatan pengewapan botol susu jenama Avent dan pakaian bayi di AEON Mall, Lembah Sireh, di sini, jam 5.30 petang, pada 21 Disember 2018.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan juga denda.

Difahamkan, wanita itu turut mempunyai rekod kesalahan sama yang dilakukan di Kajang, Selangor sebelum ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Terdahulu, tertuduh memohon supaya mahkamah melepaskannya dengan jaminan tidak melebihi RM3,000 kerana bayinya masih menyusu badan dan suami bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM1,900 sebulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Januari tahun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Difahamkan, ahli keluarga tertuduh membayar wang jaminan itu.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X