Khamis, 27 Disember 2018 | 5:45pm
Seorang bapa (kanan) dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 20 sebatan di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, di sini, hari ini selepas mengaku merogol anaknya, November lalu. - NSTP/Nur Saliawati Salberi

Bapa durjana terima padah

ALOR GAJAH: Seorang bapa dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 20 sebatan di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, di sini, hari ini selepas mengaku merogol anaknya, November lalu.

Hakim Ahmad Sazali Omar menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 35 tahun mengaku bersalah atas dua pertuduhan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 12 tahun di sebuah rumah di Rumah Awam Pulang Sebang, di sini kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 4 dan 5 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lee Wai Yi yang melakukan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh dengan mengambil kira tertuduh adalah bapa mangsa.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan mempunyai anak yang masih kecil dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama, selain sudah bertaubat.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara 15 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama, manakala 20 tahun penjara dan 10 sebatan bagi pertuduhan kedua, bagaimanapun hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 24 Disember lalu.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Ahmad Sazali, seorang lagi bapa turut dihukum 15 tahun penjara dan dikenakan 10 sebatan selepas didapati bersalah merogol anaknya.

Tertuduh yang berusia 39 tahun didakwa merogol anak perempuannya berusia 18 tahun di sebuah rumah di Pulau Sebang, kira-kira jam 10.30 pagi, pada Julai lalu.

1761 dibaca
Berita Harian X