Sabtu, 29 Disember 2018 | 7:24pm
Seorang wanita meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas diserang buaya di Ladang FELDA Sahabat 25, Lahad Datu. - Ihsan PDRM
Lokasi mangsa diserang buaya. - Ihsan PDRM

Wanita maut diserang buaya

LAHAD DATU: Seorang wanita warga Indonesia maut akibat diserang buaya di Ladang FELDA Sahabat 25, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 12.45 tengah hari itu, mangsa, Marselina Oematan, 31, meninggal dunia akibat cedera parah di lengan kanan dan paha kiri, manakala kaki kanan hampir putus dipercayai akibat dibaham buaya.

Difahamkan, buruh ladang itu hendak membuang air di tebing sungai sebelum tiba-tiba disambar buaya.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata selepas diserang, wanita itu sempat menjerit meminta tolong.

“Rakan-rakannya yang terdengar jeritan segera memberikan bantuan dan menyerang buaya itu dengan sabit.

“Mangsa akhirnya berjaya diselamatkan dan dibawa naik ke darat.

“Wanita itu kemudiannya dikejarkan ke Klinik Desa Kencana, Felda Sahabat, namun tidak sempat diselamatkan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Nasri berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Gambar mangsa selepas diserang buaya turut tular di laman sosial.

Ia memaparkan wanita itu dibaringkan di kerusi sebuah pondok dan kelihatan kaki mangsa sebelah kanan yang hampir putus menjadi viral sejak semalam.

Berita Harian X