Isnin, 31 Disember 2018 | 6:02pm

Isu tikus: MAHB sudah ambil tindakan serius

PUTRAJAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), pengendali lapangan terbang di negara ini sudah mengambil tindakan serius susulan video viral menerusi media sosial berhubung dakwaan masalah tikus di ruang rehat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang.

Menerusi satu kenyataan, MAHB menegaskan, langkah pembasmian tambahan sudah diambil dengan meletakkan sejumlah perangkap tikus di kawasan yang berkenaan.

“Selain itu, MAHB turut menjalankan pemeriksaan tambahan untuk menutup mana-mana laluan yang mungkin membolehkan haiwan perosak itu memasuki bangunan terminal,” katanya.

Dalam pada itu, MAHB menjelaskan, pihaknya menjalankan operasi berkala pengawalan serangga termasuk kaedah pengasapan dua minggu sekali di seluruh bangunan terminal bagi membasmi serangga dan haiwan perosak seperti lipas, lalat dan tikus.

“Kegiatan pembasmian ini dilakukan di bawah seliaan Bahagian Kawalan Penyakit Berjangkit, Kementerian Kesihatan.

“Bagaimanapun, mana-mana kejadian yang tidak diingini amat dikesali dan kami akan mengambil tindakan segera apabila mendapat maklum balas daripada mana-mana pihak,” katanya.

Baru-baru ini, satu video viral menerusi aplikasi Twitter dan WhatsApp mengenai seekor tikus dikatakan berada di ruang rehat klia2.

Sebelum ini, Ketua Perhubungan AirAsia, Mohd Aziz Laikar, pernah memuat naik video sebuah tong sampah yang dipenuhi ulat di lapangan terbang berkenaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X