Rabu, 2 Januari 2019 | 11:10pm
Pengunjung pada program “Neon Countdown 2018” yang diadakan di depan sebuah hotel di Lukut malam kelmarin. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Penganjur sambutan tahun baharu ditahan

PORT DICKSON: Polis menahan seorang wanita berusia 36 tahun yang menjadi penganjur acara sambutan tahun baharu tanpa kelulusan di sebuah resort di Lukut di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata wanita itu ditahan di sini, kira-kira jam 9.45 malam tadi.

“Wanita itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 Akta Perhimpunan Aman 2012 berikutan acara berkenaan bertentangan dengan kelulusan yang dimohon oleh penganjur sebelum ini.

“Selain itu, polis juga mengesan aktiviti penjualan dan penggunaan minuman keras pada acara itu, selain lima pengunjung turut ditahan kerana kesalahan berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Semalam, media melaporkan polis menahan lima pengunjung program sambutan tahun baharu yang dihadiri kira-kira 10,000 pengunjung termasuk dari luar negara itu, kerana dipercayai di bawah pengaruh dadah.

Polis dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) turut mendedahkan, penganjur program itu menyimpang daripada permohonan asal iaitu untuk mengadakan persembahan kebudayaan dan kesenian.

Sebelum ini, sebanyak enam laporan polis dibuat bagi membantah penganjuran program berkenaan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Teluk Kemang dan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Ahli Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Berita Harian X