Jumaat, 4 Januari 2019 | 12:32pm
NAJIB hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi sebutan semula kes yang didakwa atas tuduhan bersubahat dengan Arul Kanda berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB. - NSTP/Saddam Yusoff
NAJIB hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi sebutan semula kes yang didakwa atas tuduhan bersubahat dengan Arul Kanda berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB. - NSTP/Saddam Yusoff

Mahkamah benar kes Najib, Arul Kanda dibicarakan bersama

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes berhubung pertuduhan berkaitan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy untuk dibicarakan bersama.

Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan yang dibuat Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram pada sebutan kes itu hari ini.

Sehubungan itu, pertuduhan terhadap Arul Kanda, 42, dibacakan semula dan tertuduh mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Pada prosiding sama, Sri Ram memaklumkan kepada mahkamah, satu permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi akan dibuat.

Sebutan semula kes ditetapkan 1 Mac ini.

ARUL Kanda hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi sebutan semula kes yang didakwa atas tuduhan bersubahat dengan Najib berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB. - NSTP/Saddam Yusoff
ARUL Kanda hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi sebutan semula kes yang didakwa atas tuduhan bersubahat dengan Najib berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB. - NSTP/Saddam Yusoff

Pada 12 Disember tahun lalu, Najib didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum ia dimuktamadkan dan dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) bagi melindungi diri daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berhubung syarikat pelaburan itu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya di antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana yang lebih tinggi, dikenakan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Arul Kanda didakwa bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Najib iaitu sebagai pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri menggunakan jawatan beliau untuk mendapatkan suapan bagi diri beliau sendiri.

Ia adalah bagi perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib sivil atau jenayah berkaitan 1MDB dengan cara mengambil tindakan mengarahkan laporan akhir pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC).

Arul Kanda didakwa melakukan perbuatan itu di di Kompleks Jabatan Perdana Menteri Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di baca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X