Jumaat, 4 Januari 2019 | 7:34pm
Kakitangan JTLM Terengganu menebang pokok tumbang yang dibadai ribut Tropika Pabuk di Pusat Taman Laut Pulau Redang. - NSTP/Rosli Ilham

Detik cemas angkara Pabuk

PERMAISURI: “Angin selama tiga jam sungguh kuat dan menakutkan,” kata kakitangan Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) Terengganu, Mohammad Khairi Mohamad Zukri, 29, selepas pusat Taman Laut Pulau Redang di sini, dibadai ribut tropika Pabuk, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, angin kencang dianggarkan sekitar 60 kilometer sejam disusuli ombak besar sekitar tiga meter.

Mohammad Khairi berkata, ketika kejadian dia bersama tiga rakan setugas, William Tan Chin Chien, 30, Ghazali Abu Bakar, 50 dan Mohd Asri Said, 43, baru selesai bertugas di pejabat.

“Ombak besar dengan angin kencang itu menyebabkan sembilan pokok ru dan kelapa di depan pusat Taman Laut Pulau Redang tumbang satu demi satu.

“Sebatang pokok tumbang terbabit menimpa sebuah rumah tetamu sehingga menyebabkan sebahagian atapnya rosak teruk,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mereka berempat terpaksa menyelamatkan diri dengan berlindung di dalam bangunan pejabat.

“Sepanjang empat tahun bekerja di sini, ini kali pertama kami berdepan dengan ribut yang dahsyat sehingga menggegarkan atap dan bangunan pejabat.

“Kami tidak berani keluar kerana ketakutan sambil berdoa supaya ribut kencang itu berhenti dengan segera,” katanya.

Menurutnya, ribut terbabit akhirnya berhenti kira-kira jam 8 malam sebelum mereka keluar untuk melakukan siasatan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Zawawi Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, beliau bersyukur tiada sebarang kerosakan serius berlaku ke atas bangunan di Pusat Taman Laut terbabit.

“Buat masa ini keadaan laut masih bergelora dan menyulitkan kakitangan kami untuk pergi ke sana menjalankan siasatan.

“Saya juga sudah berhubung dengan kakitangan JTLM di sana supaya dapat membersihkan dan mengalihkan pokok tumbang sehingga bantuan lain tiba,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan menjalankan siasatan kos kerugian yang dialami dan kerja gotong royong membersihkan kawasan Pusat Taman Laut itu akan segera dilakukan sebelum kehadiran pelancong menjelang Mac nanti.

Berita Harian X