Sabtu, 5 Januari 2019 | 5:36pm
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tiga lelaki mencuri di Masjid Permatang Janggus, Permatang Tengah. - Foto ihsan Pembaca
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tiga lelaki mencuri di Masjid Permatang Janggus, Permatang Tengah. - Foto ihsan Pembaca

3 remaja kebas duit tabung masjid RM5

PERMATANG PAUH: Tiga remaja lelaki bertindak melarikan televisyen masjid selepas tidak berpuas hati dengan hasil samun RM5 daripada tabung masjid berkenaan.

Kejadian jam 3.45 pagi di Masjid Permatang Janggus yang juga dikenali sebagai Masjid Batu di sini itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan.

Berdasarkan rakaman CCTV, tiga remaja termasuk seorang berkain pelikat memasuki kawasan solat jemaah wanita sebelum melarikan wang RM5 dari tabung masjid.

Difahamkan, mangsa yang tidak berpuas hati dengan hasil curi itu melarikan televisyen LCD 49 inci yang dipasang di situ.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata pihaknya sudah menerima laporan daripada pengurusan masjid dan sedang memburu suspek.

Nik Ros Azhan berkata, pihaknya sudah meneliti rakaman CCTV masjid dan kini sedang giat memburu mereka dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X