Ahad, 6 Januari 2019 | 1:41pm

Kumpulan 'Ong' kecundang

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan kumpulan ‘Ong’ yang aktif melakukan jenayah pecah rumah di sekitar daerah Brickfields, di sini, minggu ini.

Penangkapan itu sekali gus menyelesaikan empat kes jenayah membabitkan modus operandi mencuri barangan berharga dan kereta mewah di rumah teres pada waktu tengah hari dan petang sebelum tamat waktu bekerja.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe, berkata aktiviti kumpulan itu terbongkar selepas pihaknya menahan dua warga tempatan yang turut terbabit dalam kegiatan jenayah berkenaan.

Katanya, dua suspek lelaki yang berusia 40 dan 38 tahun itu masing-masing ditahan polis pada 3 dan 4 Januari lalu.

“Kita tahan lelaki pertama ketika dia cuba mencuri kenderaan jenis Ford Ranger di kawasan Jalan Hujan Rahmat, di sini.

“Susulan tangkapan berkenaan, lelaki itu mendedahkan pembabitan seorang lagi rakannya yang juga lelaki kedua melakukan jenayah sama.

“Kita tahan suspek kedua di sebuah kondominium di Jalan Puchong, di sini.

“Kita rampas beberapa barangan termasuk satu beg galas yang mempunyai pelbagai peralatan pecah rumah seperti pemutar skru, spanar, serangkai kunci kereta dan alat kawalan jauh beberapa kereta sebagai bahan bukti siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-dua suspek itu masing-masing mempunyai empat rekod jenayah termasuk satu kes dadah dan dua rekod jenayah termasuk satu kes dadah.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan jenayah pecah rumah serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan dan mencuri kenderaan,” katanya.

Berita Harian X