Isnin, 7 Januari 2019 | 5:37pm
KETUA Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
KETUA Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Suspek tikam anggota polis direman empat hari

KUALA LUMPUR: Dua suspek kes samun termasuk seorang seorang daripada mereka yang menikam anggota polis di Jalan Tun Razak di sini, malam tadi, direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah, berkata kedua-dua lelaki dipercayai warga Indonesia berusia 25 dan 48 tahun berkenaan direman bermula hari ini hingga 10 Januari nanti.

“Kedua-dua suspek yang ditahan gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan diri sah. Mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam tadi, seorang anggota polis cedera di bahagian siku kanan akibat ditikam dengan pemutar skru oleh seorang daripada suspek dalam usaha melarikan diri daripada tahanan polis.

Shaharudin berkata, ketika beberapa anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi itu sedang melakukan rondaan cegah jenayah, mereka menahan sebuah kereta Proton Satria dinaiki dua lelaki warga asing berkenaan di Jalan Binjai jam 10.20 malam tadi.

“Pemeriksaan terhadap kereta itu menemui beberapa alat yang disyaki digunakan untuk pecah masuk rumah. Ketika tangkapan dilakukan, kedua-dua suspek bertindak agresif dan seorang daripada mereka menikam anggota polis berkenaan menggunakan pemutar skru.

“Suspek kemudian melarikan diri di Jalan Tun Razak sebelum dilanggar sebuah kereta menyebabkan dia cedera di bahagian lutut,” katanya.

Katanya, suspek yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala anggota polis yang ditikam turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X