Rabu, 9 Januari 2019 | 1:51pm

Datuk Seri direman bantu siasatan kes syiling emas

KUANTAN: Seorang lelaki bergelar Datuk Seri direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung urusan penjualan syiling emas menggunakan potret Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan jata Sultan Pahang tanpa kebenaran.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Humaira KM Haider setelah menerima permohonan daripada pihak polis.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Terdahulu suspek berusia 31 tahun ditahan di sebuah restoran di Sri Gombak, di Selangor, pada jam 7.15 malam tadi selepas siasatan dan risikan dilakukan pihaknya hasil laporan polis dibuat pada 28 Disember lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata, pihaknya juga sedang memburu seorang lagi lelaki bergelar Datuk berusia 30-an bagi membantu siasatan.

Katanya, polis turut merampas satu syiling emas tertera potret Sultan Ahmad Shah, satu syiling emas Tengku Abdullah dan tertera jata Pahang serta satu buku katalog.

Beliau berkata, suspek ditahan selepas pihaknya menerima laporan polis dibuat oleh Pegawai Penyelaras Keselamatan Tengku Abdullah selepas mendapat titah baginda untuk berbuat demikian pada 28 Disember lalu.

“Pegawai baginda membuat laporan polis selepas menerima titah menerusi aplikasi WhatsApp berkaitan pembuatan dan penjualan gold coin (syiling emas). Bertindak atas laporan dibuat, JSJK Pahang menjalankan risikan dan siasatan sebelum menahan suspek.

“Polis turut merampas syiling emas yang masing-masing tertera potret Sultan Ahmad Shah, Tengku Abdullah dan jata Pahang serta satu buku katalog,” katanya.

Mohd Wazir berkata, soal siasat terhadap suspek yang juga ahli perniagaan mendapati lelaki terbabit membuat dua syiling emas dengan tujuan diserahkan kepada orang tengah supaya mendapat perkenan untuk berjumpa Tengku Abdullah bagi memperoleh kebenaran menjalankan perniagaan menjual syiling emas itu.

Katanya, kos pembuatan syiling emas yang dianggarkan RM8,000 setiap satu dipercayai untuk dijual pada harga RM18,888 dan terhad kepada 10,000 set.

SEORANG lelaki bergelar Datuk Seri direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung urusan penjualan syiling emas menggunakan potret Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan jata Sultan Pahang tanpa kebenaran.
SEORANG lelaki bergelar Datuk Seri direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung urusan penjualan syiling emas menggunakan potret Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan jata Sultan Pahang tanpa kebenaran.
Berita Harian X