Khamis, 10 Januari 2019 | 6:53pm
TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh pada sidang media selepas forum ‘Kes Penderaan Kanak-Kanak Semakin Meningkat: Adakah Undang-Undang Kurang Berkesan?’, di Maktab PDRM Kuala Lumpur, Cheras, hari ini. - Foto Azhar Ramli
TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh pada sidang media selepas forum ‘Kes Penderaan Kanak-Kanak Semakin Meningkat: Adakah Undang-Undang Kurang Berkesan?’, di Maktab PDRM Kuala Lumpur, Cheras, hari ini. - Foto Azhar Ramli

Ibu dalang utama kes dera kanak-kanak - Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR: Golongan ibu didapati menjadi dalang utama dalam kes penderaan kanak-kanak di negara ini dengan keseluruhan 7,564 kes yang direkodkan antara 2013 hingga Jun tahun lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata untuk tempoh yang sama, kes dera membabitkan bapa sendiri pula adalah sebanyak 5,012 kes.

“Statistik berkenaan sememangnya mengejutkan kerana ibu adalah individu yang paling rapat dengan kanak-kanak.

“Walaupun undang-undang sedia ada sudah mencukupi dalam menangani kes penderaan kanak-kanak, langkah pencegahan adalah pendekatan terbaik bagi menurunkan statistik berkenaan.

“Justeru, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini sedang bekerjasama dengan pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendapatkan idea mahu pun kaedah lebih berkesan bagi membanteras jenayah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup forum ‘Kes Penderaan Kanak-Kanak Semakin Meningkat: Adakah Undang-Undang Kurang Berkesan?’, di Maktab PDRM Kuala Lumpur, Cheras, hari ini.

Turut hadir pada forum anjuran mahasiswa Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sesi 2018/2020 itu ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Ia turut disertai panel berpengalaman iaitu Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatalogi merangkap Ketua Unit Neonatal Jabatan Paediatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr Irene Cheah Guat Sim serta Hakim Mahkamah Sesyen Klang, Datin Kunasundary Marimuthu manakala moderatornya adalah profesor undang-undang dari UKM, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai kes jenayah terutama membabitkan penderaan kanak-kanak, Hannah berkata, KPWKM bersama-sama agensi lain seperti pihak Mahkamah, PDRM dan Jabatan Penjara kini sedang membangunkan sistem bagi menyaring secara dalam talian individu yang akan bekerja atau diambil bekerja dengan kanak-kanak.

Katanya, sistem itu dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun ini dan akan dapat membantu pihak terbabit mendapat maklumat yang diperlukan.

“Selain itu, KPWKM juga sedang merangka peta strategik bagi mengenal pasti kawasan-kawasan perumahan yang berisiko dan yang merekodkan jumlah tertinggi kes pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak atau jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Dengan kaedah itu, kementerian akan dapat mengenal pasti kawasan yang terbabit dengan jenayah kanak-kanak, sekali gus membolehkan pelbagai program pendidikan dan kesedaran diadakan bagi menanganinya,” katanya.

Menurut Hannah lagi, KPWKM juga berharap data mengenai jenayah membabitkan kanak-kanak yang diperoleh agensi lain seperti PDRM misalnya, dapat dikongsi dengan kementerian yang berkaitan.

Kata beliau, dasar data terbuka itu dapat memberi banyak manfaat kepada pihak yang berkaitan bagi memastikan tindakan segera dapat diambil.

“Jenayah membabitkan kanak-kanak di negara ini adalah tanggungjawab semua pihak dan langkah pencegahannya juga membabitkan semua agensi .

“Jadi, perkongsian data adalah penting bagi memastikan pihak berkaitan dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin,” katanya.

Berita Harian X