Jumaat, 11 Januari 2019 | 8:34pm
Tujuh penunggang motosikal yang sedang berteduh di bawah jambatan, cedera selepas dirempuh sebuah kereta di Kilometer 5.2 Lebuhraya LinKedua arah utara di Iskandar Puteri, petang tadi. - Ihsan pembaca
Tujuh penunggang motosikal yang sedang berteduh di bawah jambatan, cedera selepas dirempuh sebuah kereta di Kilometer 5.2 Lebuhraya LinKedua arah utara di Iskandar Puteri, petang tadi. - Ihsan pembaca

Tujuh penunggang motosikal cedera dirempuh kereta

ISKANDAR PUTERI: Tujuh penunggang motosikal yang sedang berteduh di bawah jambatan, cedera selepas dirempuh sebuah kereta di Kilometer 5.2 Lebuhraya LinKedua arah utara di sini, petang ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata dalam nahas jam 5 petang itu, semua penunggang terbabit berteduh di bawah jambatan kawasan berkenaan.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kenderaan dipandu warga Singapura berusia 52 tahun dari arah Singapura menghala ke Johor Bahru dipercayai hilang kawalan akibat melanggar lopak air sebelum terbabas dan berpusing melanggar pembahagi tepi jalan.

“Kenderaan ini kemudian merempuh tujuh motosikal yang berteduh di bawah jambatan kerana hujan lebat,” katanya dihubungi bagi mengesahkan kemalangan itu.

Beliau berkata, berikutan itu semua penunggang motosikal cedera ringan termasuk seorang daripadanya cedera pada muka.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk menerima rawatan susulan kecederaan dialami,” katanya.

Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan jalan lurus, tiga lorong satu hala, garisan putih berkembar sebagai tanda pemisah jalan.

Setakat ini, katanya, enam mangsa membuat laporan polis, manakala dua mangsa lagi belum tampil.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

1608 dibaca
Berita Harian X