Sabtu, 19 Januari 2019 | 7:32pm
Orang ramai melihat anggota bomba mengangkat mayat Muhammad Amir Abdullah (gambar kecil) selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya terjatuh ke dalam gaung di Jalan Sungai Ular, Kulim. - Foto ihsan Pembaca

Kakitangan SADA hilang ditemui maut

KULIM: Kakitangan Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sejak Rabu lalu, akhirnya ditemui maut tengah hari tadi akibat kemalangan di Jalan Kulim-Serdang.

Mayat Muhammad Amir Abdullah, 25, ditemui kira-kira jam 1 tengah hari tadi, selepas dia dikatakan keluar dari rumah ibunya di Kampung Becah Sawa, Mukim Siong, Baling pada Selasa lalu untuk ke tempat kerjanya di Alor Setar.

Bagaimanapun, mangsa tidak dapat dihubungi ahli keluarga sejak Rabu lalu, sebelum kenderaan pacuan empat roda (4WD) mangsa ditemui orang awam di dalam gaung tepi jalan.

Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku pada awal pagi Rabu ketika mangsa memandu dari arah Serdang ke Kulim.

Abang mangsa, Mohammad Hafiz, 32, berkata kenderaan dipandu arwah adiknya adalah miliknya yang dipinjam selepas kenderaan mangsa mengalami kerosakan.

“Selasa lalu, arwah ada beritahu saya hendak pinjam kereta yang diletak di rumah emak dan arwah janji pulangkan pada Rabu selepas pulang dari kerjanya.

“Namun, pada Rabu dia masih tidak pulang ke rumah menyebabkan emak dan kami adik beradik buat panggilan beberapa kali pada arwah tetapi tidak dapat, rupanya adik terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pelbagai usaha mencari mangsa dilakukan termasuk dengan bertanyakan rakan sekerja serta majikannya, namun semua mereka mengatakan adiknya itu tidak datang ke tempat kerja sejak Rabu lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, mangsa dipercayai maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas sebelum terjatuh ke curam bukit.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa memandu dari arah Serdang ke Kulim.

“Kemalangan dipercayai berlaku pada awal pagi Rabu lalu apabila kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas jatuh ke curam bukit.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa di bawa ke Forensik Hospital Kulim untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Nasir berkata, punca kematian masih belum dikenalpasti dan kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkitan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X