Sabtu, 19 Januari 2019 | 9:29pm

Tabung masjid sasaran penagih dadah

KUALA TERENGGANU: Terdesak untuk mendapatkan bekalan dadah, seorang penagih menjadikan tabung masjid sebagai sasaran bagi melakukan jenayah curi.

Bagaimanapun, tindakan lelaki terbabit membawa padah apabila dia menjadi buruan polis selepas perbuatannya mencuri wang tabung Masjid Sungai Rengas, di sini, dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasangkan di masjid berkenaan.

Berdasarkan rakaman itu, suspek yang menunggang motosikal Yamaha 125Z dan memakai seluar celoreng memasuki pekarangan masjid sebelum memasuki ruang solat di bahagian luar masjid pada 10 Januari lalu.

Menurut sumber, berdasarkan rakaman itu, pihaknya menjejak lelaki berusia 25 tahun terbabit sebelum dia ditahan selepas sembilan hari usaha memburunya dilakukan.

“Lelaki terbabit ditahan semalam selepas pasukan khas Balai Polis Chabang Tiga terserempak dengannya ketika dia berada di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Durian Burong, di sini, jam 1 pagi,” katanya.

Katanya, suspek yang terkejut dengan kehadiran polis cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan sebelum suspek berjaya ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Chabang Tiga untuk siasatan lanjut.

Sumber berkata, suspek dari Kampung Pulau Rusa, di sini, menggunakan modus operandi mencuri ketika jemaah menunaikan solat Isyak bagi mengelak perbuatannya disedari.

“Berdasarkan rakaman CCTV, suspek melakukan jenayah itu ketika azan Isyak berkumandang jam 8.20 malam,” katanya.

Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan laporan kes dan tangkapan suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.

RAKAMAN Kamera Litar Tertutup (CCTV) suspek yang mencuri duit tabung Masjid Sungai Rengas. - Foto Zaid Salim
Berita Harian X