Ahad, 20 Januari 2019 | 11:31am
POKOK ganja yang dirampas polis di sebuah rumah di Titi, tengah hari semalam. - Foto Abnor Hamizam

'Tanam pokok ganja dalam loteng'

JELEBU: Seorang kakitangan kerajaan adalah antara dua lelaki yang ditahan selepas didapati menanam pokok ganja di sebuah rumah sewa.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata suspek masing-masing berusia 27 dan 30 tahun itu ditahan ketika pemeriksaan polis dalam Op Tapis di sebuah rumah di Titi di sini, jam 1.30 tengah hari semalam.

Katanya, pemeriksaan pada tubuh suspek yang pada waktu itu berada di hadapan rumah berkenaan tidak menemui barang terlarang.

“Polis kemudian memeriksa bilik tidur dalam rumah suspek sebelum melihat satu tangga kayu yang disandarkan di tepi dinding.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tangga itu digunakan untuk ke loteng.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan lapan pasu pokok ganja di loteng berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Kamarul Rizal berkata, siasatan mendapati pokok ganja itu ditanam menggunakan benih ganja daripada ketulan ganja diperoleh menerusi pengedar dari Melaka.

Katanya, semua pokok ganja berkenaan dianggar berusia tiga hingga lapan bulan manakala ujian air kencing kedua-dua suspek positif dadah.

“Suspek mengaku menanam pokok ganja berkenaan untuk kegunaan sendiri dan siasatan lanjut masih dijalankan terhadap kedua-dua suspek yang masing-masing bekerja sendiri dan kakitangan agensi kerajaan.

“Selain Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, kes turut disiasat mengikut Seksyen 6B akta sama, memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan enam sebatan,” katanya.

Berita Harian X