Isnin, 21 Januari 2019 | 2:09pm

Hentikan spekulasi - Ketua Polis Pulau Pinang

GEORGETOWN: Orang ramai dinasihat berhenti membuat spekulasi mengenai rakaman ‘dashcam’ berhubung kejadian kenderaan utiliti sukan (SUV) terhumban ke dalam laut yang diperoleh daripada sebuah kenderaan lain.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narensagaran, berkata orang ramai tidak seharusnya membuat andaian hanya berdasarkan rakaman terbabit sebaliknya memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan.

“Kita akan menghantarnya kepada pasukan forensik untuk meneliti rakaman terbabit, jika ia berkaitan dengan kejadian berkenaan atau perkara lain.

“Bayangkan trauma dialami keluarga mangsa terpaksa membaca semua spekulasi berhubung kes ini. Kita perlu menghormati sentimen keluarga mereka juga.

“Jangan terlalu teruja dan buat spekulasi. Anda (pengamal media) dan kita (polis) perlu berlandaskan fakta,” katanya ketika ditemui di Festival Polis Komuniti sempena Thaipusam di Jalan Kebun dekat sini, hari ini.


Datuk T Narensagaran hadir di Festival Polis Komuniti sempena Thaipusam di Jalan Kebun dekat Georgetown, hari ini. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi semalam, SUV putih dipercayai dipandu Moey Yun Peng, 20, terhumban ke dalam laut selepas terbabit dalam kemalangan dengan kereta jenis Toyota Vios, ketika dalam perjalanan dari Georgetown menghala ke Seberang Perai.


Moey Yun Peng.

Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan dalam jarak seluas 2 batu nautika dari lokasi kejadian, membabitkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Pasukan Polis Marin.

Narensagaran berkata, pihak berkuasa kini menggerakkan aset dan menggandakan usaha pencarian mangsa.


Operasi pencarian giat dijalankan dalam jarak seluas 2 batu nautika dari lokasi kejadian. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal
3336 dibaca
Berita Harian X