Isnin, 21 Januari 2019 | 8:14pm

Operasi bawa keluar SUV disambung esok

GEORGETOWN: Operasi membawa keluar kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5 yang terhumban dari Jambatan Pulau Pinang selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4.0 jambatan itu ditangguhkan jam 7.30 malam ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata kerja-kerja mengangkat SUV yang ditemui 15 meter dari tiang 34 jambatan itu pada jam 4 petang tadi terpaksa dihentikan kerana faktor cuaca gelap dan juga keselamatan.

Beliau berkata, operasi berkenaan akan disambung semula jam 7 pagi esok dan kerja penandaan sudah dilakukan dan hanya akan menunggu kren untuk mengangkat SUV terbabit.


Operasi ini akan disambung semula jam 7 pagi esok dan kerja penandaan sudah dilakukan. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Difahamkan, mayat mangsa dipercayai penuntut kolej swasta, Moey Yun Peng turut ditemui di tempat duduk pemandu dengan masih memakai tali pinggang keledar.

Terdahulu, keadaan di atas jambatan agak sesak berikutan dua lorong terpaksa ditutup kepada pengguna jalan raya.

Lokasi kemalangan juga turut dipenuhi orang ramai terutama penunggang motosikal yang mahu melihat situasi kerja-kerja mengangkat kenderaan terbabit.

2423 dibaca
Kerja-kerja mengangkat SUV yang ditemui 15 meter dari tiang 34 jambatan Pulau Pinang. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal
Kerja-kerja mengangkat SUV Mazda CX-5 putih yang terhumban dari Jambatan Pulau Pinang dihentikan jam 7.30 malam ini kerana faktor cuaca. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal
Kerja mengangkat kenderaan mangsa dijalankan di Kilometer 4 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal
Orang ramai menyaksikan situasi kerja-kerja menaikkan SUV. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal
Berita Harian X