Rabu, 23 Januari 2019 | 12:05am
AHLI keluarga mendiang Moey Yun Peng yang terkorban dalam kemalangan maut serah kepada Polis sepenuhnya berhubung kejadian berkenaan. - Foto Rosli Ahmad

'Beri ruang kepada kami lalui saat sukar'

BUTTERWORTH: Ahli keluarga Moey Yun Peng, penuntut kolej swasta yang maut setelah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terhumban ke dalam laut di Jambatan Pulau Pinang di sini, Ahad lalu, mahu siasatan kejadian itu dijalankan dengan adil.

Abang Yun Peng, yang hanya mahu dikenali sebagai Dennis, berkata mereka sekeluarga menyerahkan kepada polis sepenuhnya berhubung kejadian berkenaan.

“Kami mahu keadilan ditegakkan dalam kes ini. Saya juga harap masyarakat tidak membuat spekulasi mengenai kemalangan berkenaan.

“Tolong berikan ruang kepada kami sekeluarga untuk kami melalui saat yang sukar ini,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya di sini, malam ini.

Mayat Yun Peng dituntut ahli keluarganya selepas bedah siasat selesai kira-kira jam 10 malam, dan dipercayai dibawa ke kediaman keluarga mendiang di Taman Kempas, Butterworth, sebelum upacara pengebumian yang dijangka pada Khamis ini.

Dalam kemalangan jam 2.54 pagi itu, SUV model CX-5 yang dipandu Yun Peng, 20, terhumban ke dalam laut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai.

Mayat Yun Peng bersama kenderaannya berjaya dinaikkan jam 5.50 petang tadi menggunakan kren selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.

Berita Harian X