Rabu, 23 Januari 2019 | 2:05pm

Kes kemalangan di Jambatan Pulau Pinang: pemandu serah diri

GEORGETOWN: Pemandu kereta Toyota Vios hitam yang terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5 putih terjunam dalam laut menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), hari ini.

Ketua Polis daerah SPT, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata pemandu berusia 21 tahun itu dibawa oleh ahli keluarganya ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik pada jam 2 pagi.

Menurutnya, suspek kini ditahan di lokap bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sehingga kini, kita sudah merekod keterangan daripada 15 individu terdiri daripada saksi-saksi yang melihat kejadian itu.

“Suspek kemungkinan akan dibebaskan dengan jaminan polis petang ini sekiranya kita selesai mengambil keterangan daripadanya,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata hasil bedah siasat yang dilakukan selama tiga jam mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas kerana tenggelam dalam laut selepas kemalangan itu berlaku.

Dalam kejadian jam 2.40 pagi Ahad lalu, pemandu SUV putih, Moey Yun Peng, 20, maut selepas kenderaan dipandunya terjunam dalam laut akibat kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang.

Selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan, mayat mangsa dan kenderaannya berjaya dinaikkan menggunakan kren jam 5.50 petang semalam.

2781 dibaca
KETUA Polis daerah SPT, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid melihat keadaan kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5 putih yang berjaya dinaikkan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam
Berita Harian X