Rabu, 23 Januari 2019 | 3:10pm

Polis, peniaga burger dituduh di mahkamah

SEREMBAN: Anggota polis Bukit Aman dan seorang peniaga burger mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dakwaan melakukan gaduh gempar di Taman Rasah Jaya, di sini pada 9 Januari lalu.

Tertuduh, Inspektor Rashi Akhbar Abdul Rashid, 37, dan Muhammad Firdaus Mohd Anuar, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mahyun Yusof sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadap mereka.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan gaduh gempar di hadapan rumah kedai bernombor 3687, Jalan RJ Utama 2, Taman Rasah Jaya, jam 1.30 pagi pada 9 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding pendakwaan itu, tiada jaminan dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh berikutan prosiding membabitkan saman jenayah.

Mahyun menetapkan sebutan semula kes pada 15 Februari ini bagi penyerahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohamad Azli, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Portal berita akhbar ini pada Ahad lalu melaporkan polis menerima dua laporan berhubung pergaduhan antara pegawai polis dan peniaga di sebuah gerai burger di Taman Rasah Jaya, di sini, yang videonya tular di Facebook.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin dilaporkan berkata laporan itu dibuat oleh pegawai polis dan peniaga terbabit, pada 9 Januari lalu.

“Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, peniaga berusia 30 tahun terbabit didatangi dua lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis dan memintanya menunjukkan kad pengenalan tetapi tidak diberikan dengan alasan tidak menunjukkan kad kuasa.

“Berikutan itu, berlaku pertengkaran antara mereka. Berdasarkan siasatan awal polis, ia disebabkan oleh salah faham antara kedua-dua pihak,” katanya dipetik berkata.

2081 dibaca
Berita Harian X