Rabu, 23 Januari 2019 | 4:11pm

Mahkamah tetap 2 hari untuk dengar rayuan Najib

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan dua hari bermula 7 Februari ini untuk mendengar tiga rayuan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berhubung isu interlokutori berhubung pertuduhan kes jenayahnya membabitkan milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Pendaftar Mahkamah Rayuan, Datuk Norsharidah Awang, menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan itu semasa prosiding pengurusan kes berkenaan yang berlangsung dalam kamar hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan, yang mewakili pendakwaan, memberitahu pemberita kemudiannya bahawa rayuan berkenaan akan didengar pada jam 2.30 petang.

Tiga rayuan terbabit berkaitan dengan permohonan Najib bagi perintah larangan untuk menghalang media membincangkan merit kes jenayahnya dan permohonannya bagi mendapatkan beberapa dokumen .

Satu lagi rayuan ialah berkaitan pernyataan dan tindakannya mencabar pelantikan peguam Datuk Sulaiman Abdullah sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes pecah amanah, penyalahgunaan kuasa serta pengubahan wang haram.

Muhammad Izzat Fauzan berkata alasan penghakiman dan rekod rayuan berhubung permohonan mendapatkan dokumen serta pelantikan Sulaiman sebagai ketua pendakwaan telah sedia.

Pada 31 Oktober tahun lalu, pihak-pihak yang terbabit dalam rayuan berkenaan menerima alasan penghakiman berhubung perintah larangan itu.

Najib, 65, menghadapi tujuh pertuduhan jenayah membabitkan dana milik SRC berjumlah RM42 juta, iaitu membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Mahkamah menetapkan 12 Februari ini bagi perbicaraan kes terbabit.

Pada 10 Ogos tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, menolak permohonan Najib bagi perintah larangan itu selepas mendapati permohonan terbabit tidak kukuh.

Mahkamah Tinggi pada 19 Disember tahun lalu, menolak permohonan Najib untuk mendapatkan surat kebenaran bagi pelantikan Sulaiman untuk mengetuai pendakwaan dalam kes SRC.

Pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lufti Mohamed, manakala Najib diwakili peguam Syahirah Hanapiah dan Farhan Read. - BERNAMA

Berita Harian X