Rabu, 23 Januari 2019 | 7:15pm
SEORANG lelaki (kiri) dibebaskan dengan jaminan polis selepas memberi keterangan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah. - NSTP/Danial Saad

Pemandu Toyota Vios dibebaskan dengan jaminan polis

BUKIT MERTAJAM: Pemandu Toyota Vios yang terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5 terbenam dalam laut di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang, Ahad lalu, dibebaskan dengan jaminan polis.

Terdahulu, suspek berusia 21 tahun itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) untuk menyerah diri sebelum dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik oleh ahli keluarganya pada jam 2 pagi tadi.

Suspek yang bekerja sebagai pendandan rambut itu dibebaskan pada jam 6.45 petang selepas polis selesai mengambil keterangannya hampir 17 jam.

Dia yang memakai kemeja-T, berseluar track panjang dan bertopi kemudian beredar bersama ahli keluarganya dengan menaiki Perodua Viva.

Dalam kejadian 2.54 pagi Ahad lalu, seorang pelajar sebuah kolej swasta, Moey Yun Peng, 20, maut selepas SUV yang dipandunya berlanggar dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios sebelum terhumban ke laut.

Kemalangan itu menyebabkan anggota penyelamat mengambil masa lebih 48 jam bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Mayat mangsa bersama kenderaannya berjaya ditarik keluar pada jam 6.10 petang semalam dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk dibedah siasat sebelum dibawa pulang ke rumah keluarganya dekat Taman Kempas, Butterworth.

Upacara pengebumian mendiang akan diadakan esok di Kremotorium Berapit, dekat sini, kira-kira jam 10 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid dilaporkan berkata, polis sedang menunggu laporan ujian darah dan alkohol untuk siasatan lanjut.

Ketika diminta mengulas dakwaan bahawa kedua-dua pemandu berkenaan berlumba ketika kejadian berlaku, Nik Ros Azhan berkata, perkara itu juga masih dalam siasatan pihak polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

5138 dibaca
Berita Harian X