Khamis, 24 Januari 2019 | 11:02am
Ketua JSJN Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif.

Gempur pengedar dadah habis-habisan!

KUCHING: Tangkap tokan! Itu pendekatan yang diambil Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak bagi mengekang masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah.

Ketua JSJN Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif, berkata pendekatan itu bagi memastikan tiada ‘penembusan’ pasaran oleh pengedar dadah kepada pelajar sekolah.

Berdasarkan kajian, katanya, kebanyakan pelajar mengakui menjadi mangsa keadaan kerana mudah terpengaruh.

“Keadaan ini menyebabkan ada pelajar mudah dipengaruhi untuk terbabit dalam kegiatan tidak bermoral itu.

“Pengedar dadah perlu ditahan untuk memastikan bahan terlarang ini tidak dijual kepada pelajar,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Sahar berkata, sehingga Januari ini, seramai 301 pelajar sekolah dikesan positif dadah hasil ujian saringan air kencing.

“Empat individu yang dipercayai pengedar dadah juga ditahan, baru-baru ini,” katanya.

Sahar berkata, polis akan bekerjasama dengan pelbagai agensi, termasuk Jabatan Pendidikan Sarawak selain Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk mengekang masalah itu.

“Pendekatan kaunseling juga akan digunakan bagi memastikan pelajar menyedari bahaya dan impak negatif sekiranya terbabit dalam kegiatan ini.

“Pihak lain khususnya ibu bapa dan masyarakat juga perlu memainkan fungsi membantu polis supaya generasi muda bebas najis dadah,” katanya.

Seramai 1,709 pelajar sekolah menengah didapati positif dadah dalam ujian saringan dilakukan AADK di 178 kawasan berisiko tinggi pada Januari hingga Oktober tahun lalu.

Sarawak mencatatkan jumlah pelajar tertinggi terbabit penyalahgunaan dadah dengan 301 pelajar didapati positif dadah selepas pemeriksaan saringan air kencing di 191 sekolah.

749 dibaca
Berita Harian X