Sabtu, 26 Januari 2019 | 4:01pm
GAMBAR fail, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid (kanan) kenderaan CX-5 yang terhumban ke dalam laut berjaya di tarik keluar dari dasar laut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4 Jambatan Pulau Pinang, 22 Januari lalu. - Foto Ramdzan Masiam

Kertas siasatan kes SUV terjunam ke laut dirujuk TPR Isnin

GEORGETOWN: Kertas siasatan kes kemalangan yang menyebabkan Moey Yun Peng, 20, maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandunya terjunam ke laut di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya, Isnin ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata walaupun laporan kimia kandungan dadah dan alkohol pemandu Toyota Vios hitam masih belum diperoleh, pihaknya akan merujuk kertas siasatan terbabit sebagai semakan awal.

“Kita masih menunggu laporan kimia kandungan dadah dan alkohol pemandu Toyota Vios terbabit namun semakan awal perlu dilakukan.

“Setakat ini, kita sudah merekodkan keterangan 16 individu termasuk saksi awam, ahli keluarga, rakan-rakan mangsa dan pemandu Toyota Vios terbabit. Kertas siasatan berdasarkan keterangan saksi itu akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi Ahad lalu, SUV dipandu Yun Peng, terhumban ke laut selepas terbabit dalam kemalangan dengan Toyota Vios dipandu rakannya itu di tempat kejadian.

Kenderaan dan mayat Yun Peng dikeluarkan dari laut pada petang Selasa lalu.

Sementara itu, difahamkan malam sebelum tragedi itu mendiang Yun Peng ada menghubungi pemandu Toyota Vios terbabit untuk mengajaknya bersama-sama menyertai majlis hari jadi rakan mereka di Lebuh Chulia, Georgetown.

Bagaimanapun, kenderaan dipandu mendiang terbabas dan terjunam ke laut selepas terbabit dalam kemalangan dengan Toyota Vios dipandu rakannya itu.

296 dibaca
Berita Harian X