Isnin, 28 Januari 2019 | 7:12pm
ANGGOTA polis mengiringi seorang lelaki (tengah) ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah. - Foto NSTP/Danial Saad

Darah pemandu SUV yang terhumban ke laut diuji

GEORGETOWN: Darah pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5 yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang turut diambil untuk ujian dadah serta alkohol.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran, berkata darah mangsa perlu diambil kerana ia adalah prosedur operasi standard bagi polis menjalankan siasatan.

“Kita akan buat secara menyeluruh (siasatan) dan tengok kesesuaian serta keperluan untuk maklumkan keputusan itu selepas ini.

“Ini kerana kita perlu juga menjaga sensitiviti keluarga yang kini masih trauma selepas mangsa meninggal dunia dalam kejadian itu,” katanya yang ditemui selepas Majlis Minum Petang Bersama Agensi-agensi Yang Terbabit Dalam Operasi Mencari dan Menyelamat di Jeti Pasukan Polis Marin, di sini hari ini.

Narenasagaran berkata, setakat ini juga polis sudah melengkapkan kertas siasatan kemalangan itu namun laporan kimia kandungan dadah dan alkohol pemandu Toyota Vios terbabit masih belum diperoleh.

“Bagaimanapun, kita sudah merujuk kertas siasatan terbabit ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya, hari ini untuk semakan awal.

“Keputusan laporan kimia kandungan dadah dan alkohol pemandu Toyota Vios berusia 21 tahun yang diperoleh nanti akan di masukkan ke dalam kertas siasatan berkenaan selepas kami mendapatnya,” katanya.

Dalam kejadian jam 2.54 pagi Ahad minggu lalu, SUV dipandu seorang penuntut kolej swasta, Moey Yun Peng, 20, terhumban ke laut selepas SUV dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Toyota Vios dalam kemalangan di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang menghala Perai.

Usaha untuk mengeluarkan kenderaan dan mayat Yun Peng dari dasar laut mengambil masa lebih 24 jam sebelum berjaya dikeluarkan pada petang Selasa.

726 dibaca
Berita Harian X