Isnin, 28 Januari 2019 | 7:16pm
BEKAS perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada bicara kes tiga lagi pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta di Mahkamah Tinggi Jenayah, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Najib didakwa 3 lagi tuduhan pengubahan wang haram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, didakwa di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas tiga lagi pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta.

Najib, 66, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika kes ditetapkan untuk sebutan semula.

Terdahulu, Najib yang hadir ke mahkamah memakai kemeja putih dan jaket biru kelihatan tenang.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah keseluruhan RM47 juta, hasil aktiviti wang haram melalui tiga akaun AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Nombor 55, Jalan Raja Chulan, di sini, pada 8 Julai 2014.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, mengemukakan pindaan terhadap enam pertuduhan, masing-masing membabitkan tiga pengubahan wang dan pecah amanah berhubung SRC International Sdn Bhd yang dihadapi bekas Presiden UMNO itu.

Pindaan itu membabitkan penambahan perkataan ‘2001’ bagi setiap Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan serta pengeluaran jumlah ‘RM4 bilion’ daripada setiap pertuduhan pecah amanah.

Najib kemudian mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik mahkamah memerintahkan jurubahasa membacakan semula semua pertuduhan pindaan.

Pada prosiding itu pihak pendakwaan turut mengemukakan permohonan supaya kesemua kes dibicarakan bersama.

Bagaimanapun, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, membantah permohonan itu, selain memohon masa untuk meneliti sama ada kes boleh dibicarakan bersama atau tidak.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Februari ini untuk mendengar hujahan kedua-dua pihak berhubung permohonan perbicaraan bersama dan mengguna pakai jumlah jaminan terdahulu iaitu RM1 juta dengan seorang penjamin.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib didakwa atas tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna jawatan dan menerima wang hasil aktiviti haram membabitkan dana syarikat SRC International.

Berita Harian X