Isnin, 28 Januari 2019 | 8:40pm
M Manogaran didakwa bertindak masuk pusat mengundi dengan memakai baju yang mempunyai logo parti. - Foto BERNAMA

SPR buat laporan polis terhadap Manogaran

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat laporan polis terhadap calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, M Manogaran berhubung tindakannya memasuki pusat mengundi dengan memakai baju yang mempunyai logo parti.

SPR dalam kenyataan hari ini, berkata Manogaran memasuki Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Senderut daerah Lipis, Pahang pada hari pengundian dengan memakai baju yang mempunyai logo parti dan tindakan itu menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954.

“Laporan polis sudah dibuat oleh petugas SPR di Balai Polis Sungai Koyan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, SPR juga mengambil tindakan serupa terhadap pelanggaran AKPR 1954 berkaitan penubuhan barung oleh parti pada hari mengundi.

“Sebanyak tiga laporan polis membabitkan sembilan Pusat Mengundi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata dan satu laporan polis membabitkan satu pusat mengundi dalam DUN Jelai dibuat oleh Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya dibuat hari ini.

“Sehubungan itu, SPR menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

“SPR menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya.

“Semua pihak diingatkan supaya sentiasa mematuhi setiap undang-undang dan peraturan pilihan raya yang ditetapkan bagi memastikan proses pilihan raya yang telus dan adil dapat dilaksanakan,” katanya.

Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas calonnya, Ramli Md Nor diumum menang dalam PRK itu dengan majoriti lebih besar.

Beliau memperoleh 3,238 undi majoriti atau 12,038 undi keseluruhan daripada 89 saluran undi.

Berita Harian X