Selasa, 29 Januari 2019 | 2:47pm
MUHAMMAD Firas Danial Muhammad Nizar.
MUHAMMAD Firas Danial Muhammad Nizar.

Kematian Muhammad Firas tiada unsur dera

LUMUT: Hasil bedah siasat ke atas bayi lelaki berusia sembilan bulan yang meninggal dunia dipercayai didera semalam, mendapati tiada sebarang unsur penderaan atau kecederaan fizikal.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman, berkata bagaimanapun siasatan akan terus dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Muhammad Hanif berkata kejadian berlaku apabila bayi berkenaan, Muhammad Firas Danial Muhammad Nizar dihantar ke rumah pengasuh di kuarters polis IPD Manjung dalam keadaan yang tidak sihat dan dikatakan demam selama tiga hari.

“Dalam jagaan pengasuh, bayi itu tidak sedarkan diri. Tindakan serta merta diambil oleh pengasuh dan ibunya dengan membawa bayi itu ke Hospital Seri Manjung.

“Namun keadaan bayi itu agak kritikal dan pihak Hospital Manjung segera merujuk serta menghantar mangsa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Hanif berkata selepas sehari berada di Unit Rawatan Rapi Hospital Ipoh, mangsa meninggal dunia.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati kematian mangsa adalah berpunca dari pendarahan dalam kepala terdapat darah beku, namun, tiada sebarang unsur penderaan atau kecederaan fizikal pada mangsa,” katanya.

Muhammad Hanif berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Semalam, media melaporkan Muhammad Firas Danial meninggal dunia di PICU di hospital berkenaan, kira-kira jam 2.49 petang semalam, setelah mengalami pendarahan dalam kepala dipercayai akibat gegaran kuat.

Ibu mangsa, Nur Aziemah Zahari, 26, berkata dia yang tinggal di Desa Pemarak Kampung Kayan di Sitiawan menghantar anaknya di rumah pengasuh itu sejak tiga minggu lepas kerana kakaknya yang sebelum ini menjaga bayi terbabit mula bekerja. – BERNAMA

Berita Harian X