Rabu, 30 Januari 2019 | 1:09pm

Dua beranak didakwa tipu RM80,000

KUALA PILAH: Dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana didakwa menipu seorang lelaki membabitkan RM80,000, enam tahun lalu.

Abd Razak Haron, 68, dan anaknya, Shaiful Bakhtiar Abd Razak, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 55 tahun dan mendorongnya membuat bayaran sebanyak RM10,000 kepada mereka di kaunter Maybank Kuala Klawang, Jelebu, antara jam 9 pagi hingga 4.30 petang pada 18 Oktober 2013

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa yang sama, membabitkan RM70,000 di kaunter Bank Rakyat, Seremban, antara jam 9 pagi hingga 4.30 petang, pada 21 Oktober 2013.

Berikutan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun, sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sara Afiqah Zulkipli manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang bagi setiap pertuduhan dan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 18 Mac depan.

Berita Harian X