Khamis, 31 Januari 2019 | 2:07pm
MUHAMMAD Nadimie dan Muhammad Hakimmie Abd Rahman didakwa ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, hari ini, atas kesalahan menanam lapan pokok ganja dalam pasu di sebuah rumah kedai di Jelebu pada 19 Januari lalu. - Foto Amran Yahya

Dua beradik didakwa tanam pokok ganja

KUALA PILAH: Dua beradik didakwa ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas kesalahan menanam lapan pokok ganja dalam pasu di sebuah rumah kedai di Jelebu pada 19 Januari lalu.

Muhammad Nadimie, 30, dan Muhammad Hakimmie Abd Rahman, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh ditahan selepas pemeriksaan polis di rumah kedai dua tingkat di nombor 10, Tingkat 1, Jalan BK1, Taman Bukit Kempas, Titi, Jelebu, pada jam 1.30 petang itu menemui lapan pokok ganja ditanam di dalam pasu.

Berikutan itu, tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6B(3) akta sama yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan, kedua-dua tertuduh yang masing-masing pekerja swasta dan peniaga itu boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang enam sebatan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sara Afiqah Zulkipli dan tertuduh diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 19 Mac depan untuk sebutan semula kes.

929 dibaca
Berita Harian X