Jumaat, 1 Februari 2019 | 6:54pm
EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat dan Sumbangan sempena Tahun Baharu Cina di Melaka Sentral, petang tadi. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

645 positif dadah di Melaka tahun lalu

MELAKA: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka menahan seramai 1,032 individu dalam pelbagai operasi yang dijalankan di negeri ini sepanjang tahun lalu.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong, berkata daripada jumlah itu seramai 645 disahkan positif dadah melalui ujian air kencing yang diperoleh dari Jabatan Patologi.

“Ia membabitkan tiga operasi yang dijalankan iaitu Op Cegah, Op Sarang dan Op Perdana, yang menumpukan kepada tujuh kawasan Perangi Dadah Habis-habisan (PDH).

“Mereka yang ditahan berumur antara 20-an hingga 70 tahun,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat dan Sumbangan sempena Tahun Baharu Cina di Melaka Sentral, di sini, petang tadi. Yang turut hadir, Pengarah AADK negeri, Yusof Kameh.

Melalui Op Selamat yang dilaksanakan sejak Selasa lalu, seramai 65 pemandu bas ekspres dan domestik melakukan ujian saringan air kencing dan kesemuanya didapati negatif dadah.

Dalam perkembangan lain, Melaka mencatatkan penurunan kes sebanyak 70 peratus selain tiada kes berulang yang direkodkan sejak program PDH dilaksanakan mulai 2016 di Tanjung Minyak, di sini.

“Ini adalah kejayaan dan program seumpamanya akan terus digerakkan yang dikenal pasti sebagai ‘port’ atau sarang penagihan dadah seperti di kawasan semak samun, kawasan perindustrian, tanah persendirian dan ladang sawit ,” katanya.

Berita Harian X