Khamis, 7 Februari 2019 | 10:55am
KEADAAN motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 40 Jalan Lumut - Ipoh, Seri Iskandar. - Foto ihsan PDRM

Dua maut kemalangan lima motosikal

SERI ISKANDAR: Dua lelaki maut dan tiga parah manakala seorang cedera dalam kemalangan membabitkan lima motosikal di Kilometer 40 Jalan Lumut-Ipoh di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.08 pagi itu, pembonceng motosikal jenis Modenas Dinamik, Aidil Hakimie Abd Latid, 19, yang beralamat di Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di badan.

Seorang lagi mangsa, Syed Muhammad Badrul Amin Syed Mohd Nasir, 23, yang beralamat di Felcra Nasaruddin Belia, Bota, meninggal dunia di Hospital Changkat Melintang (HCM) ketika mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, berkata polis menerima maklumat kemalangan itu pada jam 1.10 pagi membabitkan lima motosikal iaitu sebuah motosikal Modenas Dinamik, dua motosikal Yamaha 125Z dan dua Yamaha LC.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua motosikal berkenaan ditunggang dari arah sama iaitu Durian Kudung menghala ke Bota.

“Nahas dipercayai berlaku apabila satu daripada motosikal terbabit bergesel dengan motosikal lain dan terjatuh di atas jalan.

“Kejadian menyebabkan penunggang dari belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal yang terjatuh.

“Semua motosikal berkenaan terseret di atas jalan ke pelbagai arah, menyebabkan pembonceng motosikal Modenas Dinamik maut di tempat kejadian.

“Seorang lagi penunggang Yamaha 125Z disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di HSM,” katanya di sini, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, penunggang Modenas Dinamik yang juga seorang anggota tentera berusia 22 tahun yang bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka mengalami pendarahan di kepala dan akan dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut.

“Tiga lagi lelaki yang menunggang motosikal Yamaha 125Z berusia 20 tahun patah tangan kanan, penunggang Yamaha LC berusia 25 tahun patah kaki kanan manakala seorang lagi yang berusia 21 tahun menunggang Yamaha LC cedera ringan,” katanya.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Unit Forensik HCM untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, siasatan mendapati semua motosikal berkenaan tidak terbabit dalam lumba haram dan mangsa tidak mengenali antara satu sama lain.

Berita Harian X