Khamis, 7 Februari 2019 | 12:33pm
SUSPEK yang ditahan. - Foto ihsan polis

3 suspek nekad pandu 35km lari dari polis

JOHOR BAHRU: Dua lelaki dan seorang wanita berusia 22 tahun ditahan selepas bertindak lari daripada pihak polis dengan memandu kira-kira 35 kilometer dalam kejadian di Lebuhraya Pasir Gudang di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.45 malam itu, dua lelaki masing-masing berusia 36 tahun dan seorang wanita berusia 22 tahun ditahan selepas gagal memberhentikan kereta Honda Civic dipandu salah seorang daripada mereka seperti diarahkan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata anggotanya mengesan kenderaan dinaiki ketiga-tiga suspek di lebuh raya berkenaan sebelum mengarahkannya berhenti dengan membunyikan siren.

Katanya, seorang daripada suspek lelaki yang memandu kereta itu bertindak memecut laju dan gagal memberi kerjasama kepada polis dan melarikan diri kira-kira 35 kilometer dari lokasi mereka diminta berhenti.

“Enam kenderaan pelbagai guna (MPV) polis berjaya menahan kereta dinaiki semua suspek di kawasan jejambat Jalan Datin Halimah, Larkin.

“Ketika sampai di kawasan jejambat, kereta berkenaan terbabas dan dua suspek lelaki bertindak melarikan diri sejauh 100 meter sebelum berjaya ditahan, manakala suspek wanita berkenaan masih berada dalam kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shahurinain berkata, siasatan awal ke atas kereta dinaiki suspek menemui allen key, spanar, pengumpil kuku kambing, dompet wanita dan dua kunci kenderaan.

“Dua suspek lelaki berkenaan bekerja sebagai mekanik, seorang daripadanya memiliki lapan rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan dikehendaki polis.

“Ketiga-tiga suspek yang positif dadah jenis Meth itu akan dipohon kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah reman hari ini,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan 28(i) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, selain memandu secara berbahaya mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X