Jumaat, 8 Februari 2019 | 9:56am
NAJIB hadir bagi menghadapi tiga pendakwaan kes baharu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
NAJIB hadir bagi menghadapi tiga pendakwaan kes baharu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Najib didakwa semula 3 pertuduhan di Mahkamah Sesyen hari ini

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak didakwa semula atas tiga pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Najib, 66, yang hadir di mahkamah dengan memakai sut biru, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Pada 28 Januari lalu, Najib didakwa atas pertuduhan sama tetapi semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membenarkan permohonan Peguam Negara, Tommy Thomas untuk menarik balik pertuduhan dan mendakwanya semula.

Sehubungan itu, Najib dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi untuk menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah keseluruhan RM47 juta, hasil aktiviti wang haram melalui tiga akaun AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Nombor 55, Jalan Raja Chulan, di sini, pada 8 Julai 2014.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup, memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya sudah memfailkan permohonan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi dan memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan.

Bagaimanapun, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memohon mahkamah tidak mengenakan wang jaminan dengan alasan Mahkamah Tinggi dan pihak pendakwaan sebelum ini tidak menetapkan sebarang ikat jamin.

“Setakat ini, Najib sudah membayar wang jaminan lebih RM6 juta dan sekiranya pihak pendakwaan ingin mengenakan ikat jamin, perkara itu harus dibawa ke Mahkamah Tinggi,” katanya.

Muhammad Shafee turut memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan menimbulkan bantahan terhadap ketiga-tiga pertuduhan dikenakan terhadap anak guamnya kerana ada kecacatan yang ketara.

Beliau memaklumkan, pihaknya akan membangkitkan perkara itu ketika kes disebut di Mahkamah Tinggi.

Pihak pendakwaan kemudian bersetuju menawarkan bon jaminan peribadi (ikat jamin tanpa wang) terhadap Najib.

Sehubungan itu, mahkamah membenarkan Najib dikenakan bon jaminan peribadi tanpa penjamin dan menetapkan 8 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X