Jumaat, 8 Februari 2019 | 10:58am
SEBAHAGIAN daripada pengamal media masih menunggu ahli politik untuk memberi keterangan berhubung siasatan wang RM90 juta dimasukkan dalam akaun PAS di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Nasharuddin hadir beri keterangan di SPRM

PUTRAJAYA: Bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, pagi ini, dipercayai bagi memberi keterangan berhubung dakwaan beberapa pemimpin PAS menerima wang RM90 juta disyaki daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Difahamkan, Nasharudin tiba kira-kira jam 8.40 pagi tadi.

Turut dijangka hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM ialah Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa.

BH melaporkan empat individu yang dianggap saksi penting dalam siasatan kes berkenaan dijangka memberi keterangan kepada SPRM, hari ini.

Sumber memaklumkan, mereka yang juga pemimpin politik termasuk wakil rakyat, akan memberi keterangan secara berasingan di ibu pejabat SPRM Putrajaya dan di Kelantan.

Seorang daripada pemimpin berkenaan ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Difahamkan, SPRM ketika ini dalam proses mendapatkan dokumen penting, termasuk daripada bank yang ada kaitan dengan akaun didakwa digunakan bagi menerima dana itu.

Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dalam artikelnya diterbitkan portal berkenaan sebelum ini, mendakwa ada pemimpin tertinggi PAS mungkin menerima RM90 juta bagi mendorong parti itu bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Isu terbabit timbul semula apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1 Februari lalu membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle Brown berhubung artikel mengandungi tuduhan terbabit.

Berita Harian X