Jumaat, 8 Februari 2019 | 11:03am
NIK Abduh tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan di Kubang Kerian. - Foto NSTP/Syamsi Suhaimi

Nik Abduh hadir beri keterangan di pejabat SPRM Kelantan

KOTA BHARU: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, di sini, hari ini bagi memberi kenyataan berhubung siasatan PAS yang didakwa menerima wang RM90 juta menerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Parlimen Bachok itu yang memakai baju kurta berwarna putih dan berkopiah tiba pada jam 10.20 pagi, sebelum diiringi masuk tiga pegawai SPRM.

Difahamkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Husam Musa dijangka hadir untuk memberi keterangan berhubung siasatan sama.

Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Bachok antara empat individu dianggap saksi penting dalam siasatan kes beberapa pemimpin PAS yang didakwa menerima RM90 juta dikatakan dari 1MDB, dijangka memberi keterangan kepada SPRM, hari ini.


NIK Abduh tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan di Kubang Kerian. - Foto NSTP/Syamsi Suhaimi

Sumber memaklumkan, mereka yang juga pemimpin politik termasuk wakil rakyat akan memberi keterangan secara berasingan di negeri ini dan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Difahamkan Keterangan Nik Abduh bakal diambil oleh seorang pegawai SPRM dan dianggap penting kerana beliau dikaitkan dengan rakaman audio yang tersebar membuat pengakuan mengenai penerimaan wang jutaan ringgit daripada UMNO.

Media juga difahamkan SPRM ketika ini dalam proses mendapatkan dokumen penting, termasuk daripada bank yang mempunyai kaitan dengan akaun didakwa digunakan bagi menerima dana itu.

Isu ini timbul semula apabila Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang pada 1 Februari lalu, membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown berhubung artikel mengandungi tuduhan berkenaan.

Keputusan itu dicapai menerusi Perintah Persetujuan di Mahkamah Tinggi London selepas Hadi meneliti semua aspek keseluruhan tindakan mahkamah yang menfailkan terhadap editor Sarawak Report itu selaku defendan dan mempertimbangkan pandangan serta nasihat peguam.

Rewcastle Brown juga menarik balik tuntutan balas terhadap Hadi dan kedua-dua pihak turut bersetuju tiada perintah berkenaan kos. Kedua-dua tertakluk kepada persetujuan kerahsiaan mengenai terma berkaitan penyelesaian itu.

Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017 berhubung laporan berkenaan yang disiarkan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016.

Berita Harian X