Jumaat, 8 Februari 2019 | 1:51pm
NIK Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang juga Ahli Parlimen Bachok keluar daripada pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan di Kubang Kerian selepas selesai memberi kenyataan kehampir dua jam bagi siasatan PAS yang didakwa menerima wang RM90 juta menerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - Foto Syamsi Suhaimi

Nik Abduh selesai beri keterangan hampir 2 jam

KOTA BHARU: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz selesai memberi keterangan hampir dua jam berhubung siasatan PAS yang didakwa menerima wang RM90 juta menerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, di sini, hari ini.

Nik Abduh ketika ditemui di luar bangunan SPRM, berkata beliau memberi kenyataan berhubung beberapa perkara berikutan terdapat laporan dibuat terhadapnya mengenai siasatan itu.

“Saya dipanggil kerana terdapat laporan dibuat terhadap saya mengenai dana RM90 juta. Mereka mungkin tersalah orang kerana saya tiada maklumat berkenaan siasatan itu.

“Sepanjang beri keterangan, mereka (pegawai SPRM) hanya menulis. Terima kasih kepada pelapor kerana berpeluang ‘menziarahi’ bangunan SPRM memandangkan sebelum ini hanya melihat daripada luar.

“Saya tanya mereka (siapa lagi akan dipanggil), namun mereka tidak beritahu dan mungkin itu urusan mereka,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bachok itu tiba pada jam 10.20 pagi, diiringi masuk tiga pegawai SPRM, sebelum keluar pada jam 12.30 tengah hari tadi.

Ditanya mengenai audio yang tersebar membuat pengakuan mengenai penerimaan wang jutaan ringgit daripada UMNO, Nik Abduh berkata, beliau ada menjawab sedikit mengenai pertanyaan itu.

“Saya jawab sikit dan pendek bahawa perkara (audio) itu tiada kaitan terhadap saya. Saya sudah menjawab sebelum ini bahawa perkara tu adalah karut dan fitnah.

“Saya tidak terfikir akan dipanggil balik SPRM kerana mereka memang salah orang. Bukan saya sebenarnya (terbabit) dana RM90 juta... kalau nak tanya RM900, saya ada lah,” katanya.

Ditanya jika bersedia dipanggil sekali lagi SPRM, Nik Abduh berkata SPRM adalah ‘kawan’ PAS.

Selain Nik Abduh, Ahli Dewan Negara, Datuk Husam Musa, dan bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa, turut dipanggil SPRM untuk memberi keterangan, hari ini.

Mereka antara empat individu disenarai awal oleh SPRM sebagai saksi penting bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pemimpin PAS menerima RM90 juta dikatakan daripada 1MDB.

Berita Harian X