Jumaat, 8 Februari 2019 | 9:05pm
NAIB Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa.

Husam tegaskan tidak dipanggil SPRM

KOTA BHARU: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa, menegaskan beliau tidak pernah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan berhubung siasatan PAS didakwa menerima RM90 juta menerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Husam, dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Facebook (FB) miliknya, berkata beliau sendiri sudah menghubungi SPRM Putrajaya bagi mengesahkannya belum dipanggil.

“Namun, seperti mana saya sebutkan dalam paparan (FB), sudah pasti saya akan menyampaikan maklumat dalam pengetahuan saya sebagai tugas negara saya.

“Bahkan, saya kira sebahagian dokumen berkenaan sudah pun ada dalam pengetahuan SPRM.

“Jangan lupa, pihak mana yang disiasat. Jangan beraya salah tempat, salah hari bulan,” katanya.

Dalam entri itu juga, Husam, yang juga Ahli Dewan Negara, menasihatkan Idris Ahmad supaya bersabar dengan merujuk ‘screenshot’ kenyataan Naib Presiden PAS di FB pemimpin itu.

Idris dalam kenyataannya itu mempersoalkan siapakah seorang lagi individu selepas Nik Abduh dan Bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa, selesai beri kenyataan kepada SPRM.

“Peluang terbuka luas untuk pihak yang tuduh PAS terima RM90 juta. Dengan SPRM bukan boleh cakap kosong, bukan (seperti) ceramah politik.

“SPRM profesional. Kena bawalah replika cek RM90 juta yang duk ‘jaja’ selama ni,” katanya.

BH Online melaporkan, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, selesai memberi keterangan hampir dua jam berhubung siasatan PAS yang didakwa menerima wang RM90 juta menerusi 1MDB di pejabat SPRM Kelantan, di sini hari ini.

Nik Abduh antara empat individu termasuk Nasharudin, dianggap saksi penting dalam siasatan kes beberapa pemimpin PAS yang didakwa menerima dana itu, dijangka memberi keterangan kepada SPRM hari ini.

Isu ini timbul semula apabila Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, pada 1 Februari lalu membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown berhubung artikel mengandungi tuduhan berkenaan.

Keputusan itu dicapai menerusi Perintah Persetujuan di Mahkamah Tinggi London selepas Hadi meneliti aspek keseluruhan tindakan mahkamah yang difailkan terhadap editor Sarawak Report itu selaku defendan dan mempertimbangkan pandangan serta nasihat peguam.

Berita Harian X