Ahad, 10 Februari 2019 | 6:01pm
Dalam kejadian 20 Januari lalu, SUV dipandu Moey Yun Peng, terhumban ke laut selepas kenderaannya bergesel dengan kereta jenis Toyota Vios dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai. - Arkib NSTP

Pemandu terbabit kemalangan di Jambatan Pulau Pinang didakwa esok

BUKIT MERTAJAM: Pemandu Toyota Vios yang terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkan kereta jenis utiliti sukan (SUV) bersama pemandunya terhumban ke dalam laut dalam kejadian di Jambatan Pulau Pinang bulan lalu, akan dituduh di mahkamah esok.

Pemandu berusia 21 tahun yang dibebaskan dengan jaminan polis itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam mengikut Seksyen 41( 1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid mengesahkan perkara berkenaan dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Dalam kejadian 20 Januari lalu, SUV dipandu Moey Yun Peng, 20, yang juga seorang penuntut kolej swasta, terhumban ke laut selepas kenderaannya bergesel dengan kereta jenis Toyota Vios dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai.

Ia mengakibatkan pasukan menyelamat terpaksa mengambil masa lebih 24 jam untuk mengeluarkan kenderaan dan mayat Yun Peng dari dasar laut.

Mayat mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu kenderaan dengan tali pinggang keledar masih terpasang, ditemui dalam SUV yang remuk itu ketika ditarik keluar dari laut pada jam 6.07 petang.

438 dibaca
Berita Harian X